Membina jati diri dan identiti negara

images (7)
Ketika artikel ini ditulis, saya berada di Prince of Songkla University (PSU), Hadyai, Thailand, atas urusan kerja. Seperti yang saya pernah nyatakan dalam tulisan yang lalu, negara yang kaya dengan cerita gajah ini, amat kuat mempertahankan jati diri dan identitinya. Ironinya, negara ini tidak pula mundur, malah terus membangun meninggalkan rakan negara-negara jirannya.

Pemimpin mereka ternyata amat berjaya mengsiamkan rakyatnya tidak kira apa jua bangsa mereka. Segala aspek cara hidup diasimilasikan menjadi Siam. Ringkasnya, kehidupan mereka berteraskan kepada Buddha, Siam dan Raja (BSR). Justeru, apakah salah jika ada kumpulan yang ingin mempertahan Islam, Melayu dan Raja (IMR) di negara ini? Bukankah itu jati diri dan identiti sebenar tanah air ini? Saya tidak membantah, kerana saya mengkaji dan faham sejarah.

Cara orang Siam memberi ucapan dan menghormati tetamu begitu terpancar sekali. Bahasa dan tulisan Siam yang didaulatkan, di sana sini. Apa jua yang berkaitan dengan cara hidup Siam itu, diamalkan oleh warga Siam. Walaupun penguasaan bahasa Inggeris mereka tidaklah seberapa, berbanding kita.

Dalam soal pembangunan, saya percaya Thailand masih berada di hadapan kita, terutama bidang pertanian dan perindustrian. Meskipun negara ini tidak mengeluarkan kereta sendiri, tetapi negara ini tidak pernah rugi dalam mengeluarkan alat ganti kenderaan. Mereka terus meraihkan keuntungan demi keuntungan.

Sebelum datang ke Thailand, saya berada di Johor Premium Outlets (JPO). Berada di sana, seolah-olah berada di Hollywood. Bahasa Melayu langsung tidak daulatkan, menyebabkan saya tidak berminat untuk duduk lama di sana, apatah lagi membeli belah. Usahlah dibahaskan lagi pusat membeli belah lain. Jangan mimpi mencari sepatah dua tulisan jawi. Kenapa kita begitu buta dalam soal menjaga jati diri dan identiti? Bukankah kita yang meluluskan semuanya ini?

Thailand membangun bukan kerana mendaulatkan bahasa Inggeris, tetapi disebabkan sikap rakyat mereka yang begitu menyanjung BSR sebagai lambang jati diri dan identiti negara. Mereka sanggup berkorban apa sahaja demi BSR. Pendek kata, BSR berjaya melonjak dan merubah sikap rakyat negara ini, meskipun tidak dinafikan ada kegiatan pelacuran di sana sini.

Ketika bermesyuarat dengan pihak pentadbiran PSU, rata-rata menggunakan bahasa Siam ketika berinteraksi. Cuma sekali sekala menggunakan bahasa Inggeris ketika berurusan dengan kami. Beberapa profesor PSU yang berbangsa Cina begitu fasih berbahasa Siam. Majoriti mereka tidak boleh lagi berbahasa Cina. Mereka tetap nampak hebat.

Negara ini mempunyai hampir 10 saluran televisyen percuma. Boleh dikatakan kesemua saluran tersebut mendaulat bahasa Siam dalam apa jua perkara. Tidak ada langsung bahasa lain digunakan dalam media ini, kecuali sedikit bahasa Inggeris. Akarnya semua Siam, Siam, Siam. Termasuk semua produk luar yang masuk, akan disiamkan terlebih dahulu sebelum dipasarkan.

Ketika melawat bandar, terdapat patung Buddha dan raja mereka di sana sini. Raja dianggap sebagai bayangan Tuhan. Raja mereka disembah dan dipuja. Nasib baik, umat Islam dikecualikan dalam penyembahan sebegini, sebab kita hanya menyembah Allah. Itupun kita masih gagal mempertahankannya kalimah suci yang menjadi identiti kita, terutama apabila ultra kiasu membangkitkan isu ini kembali. Mereka mahukan kerajaan tunduk dan membenarkan kalimah Allah digunakan oleh Kristian. Malangnya, tidak ramai umat Islam yang membantah.

Keadaan kita hari ini begitu cacamerba. Apakah identiti Malaysia sebenarnya? Kuasa lebih dipentingkan daripada IMR. Ternyata bagi orang Siam BSR adalah segala-gala, tidak kira siapa yang memimpin. Kita amat mengharapkan kerajaan tidak akan tunduk dalam mempertahankan kalimah suci ini. Rakan sepakatan ultra kiasu nampaknya menikus. Mereka lebih suka saling mendoakan sesama saudara seagama, agar ditimpa musibah dan mudarat.

Kadang kala saya naik malu, melihat telatah paramugari syarikat penerbangan tambang murah, yang tidak habis-habis dengan ucapan good morning, afternoon, evening dan thank you, serta pengumuman dalam bahasa asing yang menjengkelkan. Naik muak dengan pakaian berwarna merah menyala yang begitu singkat dan terbelah dada. Saya amat hairan kenapa pegawai-pegawai senior syarikat penerbangan yang berbangsa Melayu Islam tidak mampu merubah keadaan ini? Paling kurang, pakailah baju batik dan kebaya.

Perlu diingatkan, jati diri dan identiti sesebuah negara amat penting sebagai cerminan kepada siapakah yang menjadi penduduk asal. Sudah menjadi lumrah, ia akan didaulatkan sama ada melalui kuat kuasa undang-undang, mahupun dimaktubkan dalam perlembagaan. Justeru, bukanlah sesuatu yang ganjil jika kita ingin mempertahankannya.

Terbaharu, presiden Gerakan terus mendesak kerajaan bersama ultra kiasu yang lain, supaya mengiktiraf UEC yang dikeluarkan oleh Sekolah Persendirian Cina. Sedangkan mereka tahu pendirian kerajaan amat jelas. UEC tidak mendaulatkan jati diri dan identiti negara.

UEC dikendalikan oleh Dong Jiao Zong. Kumpulan langsung tidak pernah risau apakah anak bangsa mereka boleh menguasai bertutur, menulis bahasa Melayu dengan baik atau lulus. Yang penting pada mereka sijil ini telah diikhtiraf diperingkat antarabangsa.

Berbanding di PSU, dahulunya, bahasa Melayu menjadi subjek elektif. Kini tidak lagi, martabat bahasa Melayu telah diangkat menjadi subjek minor. Mungkin satu hari nanti menjadi subjek wajib. Menurut pensyarah di sana, sebahagian besar pelajar Siam begitu berminat untuk belajar bahasa Melayu.

Peliknya di sini, apabila bahasa kebangsaan ini diwajibkan dan lulus, masih ada yang menentang kerana mereka menganggap bahasa Melayu tidak penting kerana ia bukan bahasa dunia. Kadangkala, saya sedih apabila kita beriya-iya dalam perkara-perkara yang kurang penting. Sedangkan banyak perkara penting yang perlu difikirkan seperti pembinaan jati diri ini. Misalnya majlis perkahwinan artis baru-baru ini.

Malang sungguh apabila Pegawai Kementerian Pertahanan turut campurtangan memberikan komen dalam media, satu persatu terhadap pakaian tentera dan polis yang kononnya dipakaikan oleh pengantin tersebut tidak mengikut prosedur tentera. Pada saya, tidak perlulah kita begitu teliti dalam soal remeh ini. Apakah kita sudah tidak ada kerja lain? Kecualilah pasangan ini seorang anggota beruniform atau menyamar menggunakan pakaian tersebut.

Kesimpulan, masa begitu pantas berlaku, tahun 2012 telahpun melabuhkan tirai. Apakah IMR disanjung dan dijunjung sebagai lambang jati diri dan identiti. Sama-sama kita fikirkan sebelum terlambat. Menyambut Tahun Baharu 2013.

Oleh : Prof. Dr. Mohd Ridhuan Tee bin Abdullah

Beri Komen Anda

Komen

Anda mesti mendaftar untuk memberi komen masuk

Bahagian Widget